IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggalakkan anggotanya supaya sentiasa kreatif dan inovatif dalam usaha membantu mangsa yang di dalam kecemasan dan kesulitan.

Tugas mereka bomba tidak lagi hanya memadam kebakaran, menyelamatkan mangsa kemalangan atau mangsa banjir atau menangkap ular, malah lebih daripada itu.

 

Pengarah JBPM Ngeri Perak, Datuk Yahaya Madis berkata, anggota bomba telah dilatih untuk lebih kreatif dan inovatif, di samping mampu berfikir di luar kotak.

 

“Contohnya, kita memang ada alat untuk potong cincin, tetapi kadang-kadang alat itu sendiri tidak dapat nak potong.

 

“Jadi mereka ini berfikiran kreatif, cari apa yang ada dalam kereta bomba yang sesuai untuk bantu potong cincin tu, bermakna mereka akan berusaha dan kita galakkan dari segi inovasi,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan JBPM Negeri Perak di sini pada Rabu.

 

Menurut Yahaya, di samping pertandingan inovasi di kalangan anggota bomba, mereka juga diberi penghargaan jika melakukan sesuatu yang luar daripada biasa yang dapat menaikkan imej jabatan.

 

Di samping itu, kata beliau, anggota bomba juga dilatih dari segi kepuasan bekerja, apabila dapat menyelesaikan satu masalah dan dapat membantu orang ramai, ia mereka satu kepuasan dan kejayaan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya juga sedang berusaha untuk mengurangkan `respon time’ di beberapa tempat supaya kurang 10 minit seperti sasaran yang ditetapkan oleh jabatan.

Katanya, antara langkah itu termasuklah menubuhkan pasukan bomba bantuan, bomba sukarela dan persempadanan semula kawasan keluaran balai bomba.