IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak akan melakukan proses sanitasi di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim minggu hadapan sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN tersebut hujung bulan ini.

Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman berkata, antara tempat yang akan disanitasi ialah penginapan seperti hotel dan rumah inap, di samping kedai makan dan premis awam.

“Minggu depan kita akan menggerakan pasukan kita untuk melaksanakan dan memberikan nasihat kepada pihak penginapan dan juga hotel-hotel di kawasan Tanjung Malim, Slim River dan Bidor.

“Kitaakan buat sanitasi sambil memberi tunjuk ajar kerana kita yakin apabila PRK Slim River akan berlaku, jadi ramailah yang akan turun untuk melaksanakan dia punya peranan masing-masing,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis korban dan kempen keselamatan kebakaran anjura bersama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bomba dan Penyelamat (PERISMA) dan Nation For Women (NOW) di Ipoh pada Sabtu dirasmikan Presiden NOW, Haniza Mohamed Talha.

Menurut Azmi, selain melakukan sanitasi, pihaknya juga memberi tunjuk ajar kepada penguasa-pengusaha premis berkenaan supaya mereka juga boleh melakukan sanitasi sendiri.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan penamaan calon PRK DUN Slim akan diadakan pada 15 Ogos, diikuti pengundian awal pada 25 Ogos dan hari mengundi, 29 Ogos.

Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang, pada 15 Julai lalu.