IPOH – Pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak (JBP) bersiap siaga dalam semua aspek termasuk mengadakan pemeriksaan di pusat membeli belah, yang kini menjadi tumpuan orang ramai membeli belah membuat persiapan Hari Raya.giat mengadakan jualan murah sempena musim perayaan.

Pemeriksaan itu penting bagi memastikan tahap keselamatan pengguna atau pengunjung sentiasa dalam keadaan selamat jika berlaku kebakaran mahupun kecemasan.

Menurut Pengarah JBP negeri Perak, Datuk Yahaya Madis, Balai dan Bahagian Keselamatan perlu sentiasa memantau dan mengambil tindakan sewajarnya bagi pemilik pusat-pusat membeli belah yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Setakat ini pihak kita telah menjalankan pemeriksaan di 105 pusat membeli belah iaitu pasaraya seluruh Perak, sasarannya ialah 200, bermakna separuh daripadanya sudah diperiksa.

“Dalam masa lebih kurang seminggu lagi kita akan lengkapkan, kita sedia maklum, pasaraya dan pusat membeli belah akan mengadakan jualan murah untuk menarik pelanggan.

“Sepanjang pemeriksaan itu juga, 12 notis dikeluarkan dengan kesalahan seperti menghalang laluan dalam pusat membeli belah dan barang-barang perniagaan,” kata Yahaya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Jun 2018 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat JBPM, Meru Raya pada Khamis.

Beliau menambah, tumpuan pengunjung ke pusat membeli belah menjadi faktor utama mengapa aspek keselamatan itu diperketatkan.

“Pengunjung pada saat ini terlalu ramai berbanding hari biasa, sekiranya berlaku kecemasan pengunjung perlukan laluan selesa untuk keluar.

“Kalau dihalang dengan barang-barang perniagaan ini boleh menjadi penghalang untuk menyelamatkan diri, kalau kedai biasa mereka boleh keluar dengan mudah,” katanya.

Dalam pada itu, hanya 20 peratus pegawai dan anggota bomba yang dibenarkan bercuti manakala 80 peratus lagi akan bertugas untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan waktu kecemasan.

Terdahulu, Yahaya menyempurnakan pemakaian Tanda Pangkat Pegawai KB22 serta merasmikan jentera Aerial Ladder Platform yang berfungsi untuk membuat kerja penyelamatan di aras tinggi, yang mempunyai ketinggian maksima 37 meter, bersamaan 9 tingkat.

Ia juga boleh digunakan untuk menurunkan mangsa terperangkap serta membuat kerja-kerja pemadaman kebakaran industri seperti api tangki minyak dan api kilang.

1/5