TANJUNG MALIM 4 Feb. – Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan berjaya diselamatkan oleh anggota bomba selepas terperangkap di dalam kereta jenis Toyota Vios yang terkunci di pekarangan Pejabat Pos Slim River di sini hari ini.

Difahamkan dalam kejadian pada pukul 1.50 petang itu, bayi terbabit ‘tertinggal’ di dalam kereta secara tidak sengaja ketika ibu bapa dan abangnya keluar kereta serentak dan pintu tertutup.

Ketika kejadian, keluarga berkenaan dalam perjalanan dari Shah Alam ke Teluk Intan dan singgah di pejabat pos tersebut untuk menyelesaikan beberapa urusan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Mohd. Fazrul Azuan Norman berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu daripada seorang anggota polis yang berada di Pondok Polis berhampiran pejabat pos berkenaan pada pukul 1.52 petang.

Katanya, tujuh anggota dihantar ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan bayi terbabit.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, bayi itu masih berada di dalam kereta dan anggota menggunakan peralatan khas untuk membuka salah sebuah pintu kereta itu.

“Anggota mengambil masa dua minit untuk membuka pintu dan menyelamatkan bayi tersebut dan bayi yang dalam keadaan baik itu diserahkan kembali kepada ibu bapanya,” katanya. – UTUSAN ONLINE