BATU GAJAH : Khidmat anggota bomba dipanggil untuk menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia 4 tahun yang terkunci di dalam kereta bapanya di Taman Gerbang Siputeh di sini, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 12.44 tengahari.

Menurutnya, setibanya anggota di tempat kejadian, terdapat seorang kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun terlunci di dalam kereta jenis Proton Saga yang berada di parkir dalam kawasan rumah pemanggil.

“Anggota menggunakan peralatan khas bagi membuka kunci pintu kenderaan tersebut dan mangsa diserahkan kepada keluarga dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut jurucakap itu, berdasarkan maklumat ibu mangsa, kanak-kanak tersebut telah terperangkap lebih kurang 45 minit.

“Pada waktu kejadian enjin dalam keadaan ‘on’ ketika mereka sedang bersiap untuk pulang ke rumah dari rumah nenek mangsa,” ujarnya.