IPOH: Anggota bomba yang menjalankan operasi menyelamat mangsa  kemalangan sebuah kereta di Kilometer 200.9 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat Taiping hari ini menemukan wang tunai RM8,000 di dalam kereta mangsa.
Jurucakap bomba berkata, selain wang tunai turut ditemukan  ialah barangan berharga peribadi milik mangsa.
“Anggota bomba dari Balai Kamunting  yang menjumpai wang tunai dan barangan berharga milik mangsa kemalangan kemudiannya menyerahkannya kepada polis,” katanya.
Menurutnya, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis KIA yang terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya.
Katanya,  pemandunya mengalami  kecederaan ringan manakala isterinya  cedera parah dan dibawa ke hospital untuk rawatan.
Difahamkan, kenderaan itu dinaiki oleh sepasang pengantin yang baru dinikahkan Jumaat lalu dan majlis resepsi dipercayai pada hujung minggu ini.