TELUK INTAN 24 Ogos – Anggota Bomba dan Penyelamat Teluk Intan menangkap seekor ular sawa sepanjang tujuh meter di bawah sebatang pokok kelapa sawit di Kampung Tapak Semenang dekat Tanjung Sari di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Zulkafle Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan itu daripada dua orang pekebun sawit pada pukul 10.38 pagi.

Katanya, reptilia seberat 120 kilogram itu disedari dua lelaki terbabit ketika mereka sedang mengait buah kelapa sawit.

“Kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkap ular sawa itu menggunakan alat penangkap khas.

“Ular sawa tersebut kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE