IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak sudah melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis perniagaan pengaturcara majlis di Kawasan Perindustrian Jelapang Maju yang meletup dan terbakar semalam.

Timbalan Pengarahnya, Sayani Saidon, berkata pihaknya sudah melihat rakaman CCTV yang diperoleh daripada premis berkenaan dan kini sedang menelitinya bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian yang berlaku.

“Buat masa ini kita masih menyiasat punca sebenar kejadian namun berdasarkan siasatan awal termasuk yang dijalankan Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) Bomba tidak menemui bahan yang boleh mencetuskan kebakaran selain bahan letupan iaitu bunga api.

“Setakat ini kita sudah mengambil beberapa sampel di lokasi kejadian untuk dihantar ke makmal kami di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, jabatan itu menjalankan siasatan membabitkan kejadian itu daripada semua sudut dan buat masa ini rumah kedai dua tingkat berkenaan ditutup untuk tujuan siasatan rapi yang kini dijalankan pihak polis dan bomba.

Dalam kejadian 1.54 tengah hari semalam, enam orang rentung selepas premis perniagaan terbabit meletup dan terbakar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman, ketika ditemui di lokasi kejadian semalam berkata, semua mayat yang rentung itu ditemui di tingkat atas bangunan rumah kedai dua tingkat berkenaan.

Menurutnya, hasil siasatan awal pihaknya mendapati premis itu tidak dilesenkan sebagai tempat simpanan bahan letupan.

Yahya berkata, buat masa ini polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 304 Kanun Kesesaan iaitu membunuh tanpa niat kerana dipercayai terdapat unsur jenayah membabitkan bahan letupan disimpan di lokasi yang tidak dilesenkan – berita harian