SERI ISKANDAR – Kehebatan seorang bomoh mengubati pesakitnya tidak mampu membantu dia mengubati dirinya sendiri daripada ketagihan dadah sejak 15 tahun lalu.

Lebih parah, lelaki berusia 50an terbabit memaklumkan dia terpaksa mengambil dadah bagi mendapatkan kekuatan untuk mengubati enam hingga tujuh pesakit satu malam di kediamannya di Sungai Galah, Kampung Gajah.

Menurut bapa kepada dua anak itu, dia boleh mengubati pelbagai jenis penyakit antaranya santau, memindahkan warisan, serta buatan orang sama ada pesakit datang ke rumahnya atau dari jarak jauh.

“Saya menerima ilmu ini daripada arwah bekas mertua dan jika ada yang tidak dapat datang ke rumah untuk berubat saya boleh lakukan dari jarak jauh di mana bayaran boleh dilakukan melalui akaun bank saya.

“Bayaran berubat yang saya terima ini digunakan untuk perbelanjaan keluarga dan RM10 hingga RM15 akan saya gunakan untuk beli dadah,” katanya ketika ditemui di Pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak Tengah di sini, hari ini.

Lelaki itu berkata, kuasa yang dimilikinya gagal untuk mengubati dirinya sendiri daripada ketagihan dadah.

Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Perak Tengah, Nur Huwaina Ahmad berkata, lelaki berkenaan sudah lima kali ditahan namun masih gagal untuk menjauhi dadah.

“Dia ditahan ketika serbuan dilakukan di salah sebuah port penagih di ladang kelapa sawit di Sungai Galah bersama tujuh penagih lain petang semalam dan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin.

“Hasil soal siasat suspek memaklumkan dia bekerja sebagai bomoh dengan pendapatan RM5,000 sebulan dan gagal mengubati dirinya sendiri walaupun dikatakan hebat mengubati orang lain,” katanya.

Menurutnya, suspek dipercayai menggunakan dadah untuk kegunaan dirinya sendiri bagi membolehkan dia memperoleh kekuatan mengubat pesakit yang ramai pada satu malam.

Mengulas lanjut mengenai operasi yang dilakukan AADK Perak Tengah, Nur Huwaina berkata, seramai 12 lelaki dan seorang wanita ditahan pihaknya melibatkan dua lokasi di Sungai Galah dan Felcra Seberang Perak.

“Bagaimanapun hanya 9 orang berumur 19 hingga 62 tahun ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dada keana didapati positif dadah jenis methamphetamine, opiat dan TH,” katanya – sinar