KUALA LUMPUR: Polis menahan empat individu dan membongkar makmal memproses lebih 70 kilogram (kg) syabu, dalam operasi khas membanteras dadah di sekitar Gopeng, Perak pada Isnin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata serbuan itu dilakukan Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman.

Beliau berkata turut dirampas peralatan serta bahan bagi memproses dadah berkenaan.

“Syabas STING @PDRMsia tangkap empat orang, bongkar makmal proses Syabu di Gopeng, Perak. Rampas bahan yang boleh hasilkan lebih 70kg syabu #GoPDRMGo,” kata Khalid melalui laman twitternya.

Khalid turut mengucapkan syabas kepada Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) atas kejayaan menangkap 369 pelayan pelanggan (GRO) dan tukang urut selain turut menangkap 703 suspek dan merampas 4,422 komputer judi dalam operasi di seluruh negara.

“Syabas STAGG @PDRMsia gempur maksiat seluruh negara sepanjang minggu lalu, tangkap 369 orang GRO dan tukang urut #GoPDRMGo.

“Syabas lagi STAGG @PDRMsia gempur judi seluruh negara, sepanjang minggu lalu. Tangkap 703 orang dan rampas 4,422 komputer #GoPDRMGo,” katanya. — Bernama