IPOH – Kerajaan negeri Perak hari ini mengumumkan pemberian bonus khas RM1,000 kepada 15,000 penjawat awam negeri ini sempena persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata, bonus yang melibatkan kesemua kakitangan termasuk kontrak dan sambilan itu akan diberi bermula hari ini.

“Kita telah setuju di dalam mesyuarat Exco sebentar tadi untuk memberikan RM1,000 kepada semua kakitangan awam.

“Saya harap dengan bonus berkenaan kita semua akan dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih meriah dan dalam masa sama berjimat cermat,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini, pada Rabu.

Sementara itu dalam sidang media sama, Ahmad Faizal juga turut mengumumkan gaji asas Menteri Besar dan kesemua 10 anggota EXCO kerajaan negeri akan dipotong 10 peratus, berkuas kuasa bulan ini.

Selain itu, kesemua EXCO juga termasuk Menteri Besar turut perlu melakukan pengistiharan harta kepada kerajaan negeri selewat-lewatnya penghujung bulan ini.

“Seperti kita telah janjikan dalam tawaran Pakatan Harapan sebelum ini, kesemua EXCO telah diarahkan segera buat pengistiharan harta, ianya akan dimumkan (kepada awam) bila ada keperluan.

“Potongan gaji itu juga dibuat bagi mengikuti langkah yang dibuat oleh kerajaan persekutuan,” ujarnya.