PENYOKONG Perak yakin skuad The Bos Gaurus itu mampu membawa pulang tiga mata pada aksi Liga Super berdepan PDRM di Stadium Jang Jebat, malam ini.

Presiden Perak Legend Fans (PLF), Hakimi Abdul Halim berkata, kesebelasan pemain dilihat memiliki kombinasi serta keserasian yang baik dan mampu memberi ancaman ke gawang lawan.

Justeru menurut Hakimi, kesempatan sedemikian tidak harus dipersiakan kesebelasan pemain demi merealisasikan misi membawa pulang tiga mata berharga ke Ipoh.

“Insya-ALLAH, kemenangan milik kita malam ini. Kombinasi antara pemain sudah menunjukkan keserasian dalam kalangan mereka.

“Lupakanlah kekalahan lalu dan fokus kepada kemenangan penting malam ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Hakimi turut mengharapkan kehadiran penyokong skuad Kejor Yeop Skor itu ke Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Melaka bagi memberi sokongan padu kepada pasukan.

Katanya kehadiran penyokong pastinya akan menyemarakkan semangat kesebelasan pemain untuk memberikan aksi terbaik di sepanjang perlawanan.

“Kehadiran penyokong diharap dapat memberi suntikan semangat kepada kesebelasan pemain dan seterusnya menjamin kejayaan pasukan,” katanya lagi.