KOTA KINABALU: Pasukan mencari dan menyelamat berjaya menyelamatkan 22 lagi orang dengan kebanyakan mereka adalah pelancong warga China, di perairan dekat Labuan selepas 32 jam kejadian bot karam.

Tiga lagi dipercayai maut manakala enam lagi masih hilang berikutan insiden bot hilang dalam perjalanan ke Pulau Mengalum pada Sabtu.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Pang Yuk Ming berkata, tiga kematian hanya dapat disahkan selepas mendapat pengesahan daripada pihak perubatan.
Tambahnya, kebanyakan mereka diselamatkan dari laut di perairan Labuan.

Beliau berkata, mereka yang diselamatkan ditemui secara berkumpulan antara lima sehingga 10 orang.

Terdahulu, tekong dan seorang kru diselamatkan pada Ahad.

Seramai 28 pelancong dari China dan tiga kru yang menaiki bot berkenaan.

Bot itu yang belayar dari jeti Tanjung Aru pada pukul 9 pagi, Sabtu dalam perjalanan ke Pulau Mengalum dilaporkan hilang pada kira-kira pukul 9.50 malam oleh pemiliknya. –MStar