LUMUT – Sebuah bot tempatan dengan seorang tekong dan empat awak-awak warga Myanmar telah ditahan atas kesalahan menangkap ikan di zon larangan semalam.

Bot itu ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak semasa satu rondaan penguatkuasaan di perairan Malaysia pada jam 10.30 pagi semalam.

Ketika ditahan oleh Kapal Maritim Nyalau, bot yang bernombor pendaftaran PKFB 776 (C) didapati telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen.

Dalam satu kenyataan akhbar, Maritim Malaysia Perak berkata bot tersebut ditahan ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang 12 batu nautika.

Kesemua mereka yang ditahan berumur antara 22 tahun hingga 43 tahun.

“Kes tersebut akan disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat sah lesen yang dikeluarkan bagi bot tersebut.

“Bot bersama tekong dan awak-awak kemudiannya diiringi balik ke jeti Kampong Acheh untuk siasatan lanjut,” kata Maritim Malaysia Perak.

Menurut kenyataan itu, penahanan bot tersebut menunjukkan Maritim Malaysia Negeri Perak memandang serius terhadap kesalahan di laut dan tidak akan berkrompomi terhadap manamana kapal yang melanggar peraturan dan undang-undang dilaut.

“Penguatkuasaan di perairan daerah ini akan terus dipertingkatkan walaupun pada bulan Ramadhan bagi memastikan kadar peratus kesalahan di laut semakin menurun dan akan bertindak tegas kepada mana-mana bot yang melanggar peraturan bagi mencegah aktiviti yang menyalahi undang-undang di laut,” tambah Maritim Malaysia Perak.