Lumut – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak telah menahan sebuah bot nelayan asing dan empat warga Indonesia ketika sedang melakukan kegiatan penangkapan ikan di sini, pada Sabtu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kapren Maritim Wan Mat Bin Wan Abdullah berkata bot berkenaan dikesan oleh kapal maritim KM Marlin ketika sedang melakukan rondaan dan penguatkuasaan di perairan Negeri Perak.


“Bot tersebut bersama seorang tekong dan tiga orang awak-awak warga Indonesia berusia di antara 15 hingga 55 tahun itu ditahan ketika sedang melakukan aktiviti merawai kira-kira 50 batu nautika dari barat laut Pulau Pangkor pada jam 12.58 tengahari semalam.
“Kes akan disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap di perairan perikanan Malaysia,” katanya ketika dihubungi Suara Perak.

 

Bot bersama tekong dan awak – awak kemudiannya diiringi balik ke jeti Kampong Acheh untuk siasatan lanjut.

“Pihak Maritim Malaysia akan bertindak tegas kepada mana-mana bot nelayan asing yang melakukan pencerobohan di perairan Malaysia untuk menangkap ikan” katanya.