TELUK INTAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) menyediakan perkhidmatan bot penambang percuma mulai hari ini (Jumaat) untuk membantu penduduk setempat yang terjejas ekoran penutupan sementara Jambatan Sultan Yusuf.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, perkhidmatan dua bot itu disediakan dari Jeti Pengkalan Pokok Asam di sini ke Jeti Kampung Cina Sungai Durian antara jam 6.30 pagi – 8.30 pagi dan 12 tengahari – 3 petang.

zainolMenurut beliau, keutamaan diberikan kepada pelajar dan guru-guru sekolah di kedua-dua belah sungai itu.

Katanya, pihak JKR turut menyediakan kenderaan untuk mengangkut pelajar dan guru berkenaan dari jeti ke sekolah mereka.

“Ini adalah satu lagi program di bawah tanggungjawab sosial korporat (SCR) JKR untuk membantu rakyat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Madrasah Baru Al-Ahmadiah di Perumahan Awam Jalan Padang Tembak di sini pada Jumaat.

Jambatan Sultan Yusuf ditutup mulai 28 Ogos lalu bagi kerja-kerja baik kerosakan, yang dijangka mengambil masa selewat-lewatnya empat bulan.

Jambatan itu yang dibina pada tahun 1989, digunakan kira-kira 17,000 kenderaan setiap hari.

Mengenai peniaga di kawasan rehat dan rawat (R&R) Batu 5 berhampiran jambatan berkenaan, Zainol memberitahu, pihak Majlis Perbandaran Teluk Intan bersetuju mengecualikan bayaran sewa sepanjang tempoh kerja baik pulih.