KUALA LUMPUR 3 Okt. – Pengarah Urusan DBI Properties, Datuk Noruliman A. Rahman ditahan bersama dua pemilik syarikat Juta Kelulut Global Resources dalam dua tangkapan berasingan di Balai Polis Bukit Indah, Ampang dan sebuah kondominium di Setapak, dekat sini semalam.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 29 hingga 45 tahun itu ditahan berhubung penipuan projek pembinaan rumah banglo yang melibatkan jumlah kerugian sehingga RM6.2 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima 188 laporan polis terhadap kedua-dua syarikat berkenaan yang menawarkan rumah kepada mangsa dengan harga sekitar RM60,000 untuk sebuah rumah banglo berkeluasan 1,650 kaki persegi, bagaimanapun, setelah bayaran dilunaskan pembinaan rumah tersebut tidak dijalankan.

“Dalam tangkapan pertama, JSJK merampas sebuah kereta Nissan Fairlady, sebuah kereta BMW E92, 3 unit telefon bimbit, sijil doktor falsafah dari Samaritan Mission International University dan pelbagai dokumen syarikat DBI Properties.

“Manakala, dalam tangkapan kedua, kita merampas dua unit telefon bimbit dan pelbagai dokumen Syarikat
Juta Kelulut Global Resources,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah Acryl Sani, kesemua suspek sedang direman selama dua hari bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE