SUNGAI SIPUT: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah bantuan ikhlas kerajaan untuk rakyat susah dan ia tidak wajar diperlekehkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, rakyat yang memerlukan bergantung kepada bantuan itu untuk meringankan beban dan mendorong mereka berusaha untuk lebih berjaya.

“Kita bagi (BR1M), kita nak tolong orang susah. Orang kaya macam (Tan Sri) Mokhzani (Mahathir) tu dia dah kaya, ada kereta ‘sports’ 23 buah, jet persendirian… tuan-tuan apa ada?

“Melainkan kerajaan BN ini yang boleh bantu tuan-tuan. Bantuan kita beri (untuk meringankan beban), bukan patut kita hina orang susah.

“Kita bantu orang susah supaya akan bangun lebih berjaya, sekurang-kurangnya dia tidak sesak nafas, dapur dia berasap. Ini nak dekat raya, keluar RM800 pada Jun, masa inilah nak beli baju raya anak isteri, cantikkan rumah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Hebatkan Negaraku bersama Perdana Menteri di Dewan Konvensyen Sungai Siput, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan calon BN bertanding di Parlimen Sungai Siput, Datuk Seri SK Devamany; DUN Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan DUN Jalong, Datuk Tan Lian Hoe.

Mokhzani yang juga anak Tun Dr Mahathir Mohamad dilapor memperlekehkan penerima BR1M, dengan mengatakan tiada apa yang perlu dibanggakan mengenai bantuan itu.

Ketika berceramah di pentas pakatan pembangkang di FELDA Sungai Tiang, Pendang, Kedah, malam kelmarin, beliau dipetik berkata, meskipun kerajaan gembira kerana mampu membantu rakyat menerusi BR1M, rakyat sebenarnya lupa bantuan itu menunjukkan mereka tidak mampu menyara kehidupan sendiri.

Mengulas lanjut, Najib berkata, kerajaan BN berupaya menawarkan BR1M kepada rakyat dan bantuan lain kerana pengurusan ekonomi dan kewangan negara yang cekap.

“Apabila hasil bertambah, kita pulangkan balik kepada rakyat. Ini orang momokkan pula mengenai GST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan), sedangkan ada 600 barang keperluan tak ada GST.

“Ikan kembung tiada GST, beras.. tak ada GST, susu bayi, ubatan pun tak ada, jangan nak salahkan GST. Terdapat 164 negara di dunia ada GST dan kita antara negara menawarkan GST terendah.

“Apabila dapat hasil, kita tambah untuk belanja rakyat, apa salahnya? BR1M tambah, pekebun kecil dapat.. nelayan dapat. MB kita (Zambry) pun anak nelayan dan berjaya sehingga sekarang,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus membantu rakyat memerlukan dengan memberi galakan dan mendorong mereka sehingga berjaya seperti Zambry yang kini memimpin kerajaan negeri Perak – berita harian

BERITA BERKENAAN‘Kerajaan Tak Ada Lampu Aladin, Gosok-Gosok Terus Jadi’ – Dr Zambry