LENGGONG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini membahasakan pihak yang sering memperlekehkan pemberian BR1MB sebagai dedak daripada kerajaan.

Menurutnya, BR1M yang dilaksanakan atas cadangan Bank Negara bagi membantu kumpulan sasar sebagai contohnya sudah dimanfaatkan lebih 600,000 rakyat Perak sahaja melibatkan peruntukan berjumlah RM 605 juta.

Tegasnya, wang tersebut bukanlah ‘gula-gula pilihan raya’ malah pihak yang melabelkan BR1M sebagai dedak sebenarnya telah melakukan satu bentuk penghinaan kepada rakyat.

“Adakah wang berjumlah RM 605 juta (BR1M untuk rakyat Perak) ini dedak atau gula-gula atau hanya taburan untuk ayam itik? Jangan hina rakyat sebagai ayam, itik dengan berikan dedak.

“Untuk Parlimen Lenggong pula ada lebih 11,000 penerima melibatkan wang berjumlah RM 10.5 juta. Adakah ini dedak?

“Jangan hina orang Lenggong, jangan hina orang Perak, jangan hina rakyat Malaysia yang terima BR1M kerana kita semua rakyat Malaysia yang berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi BR1M ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan ribuan rakyat Lenggong semasa merasmikan Program Bantu Rakyat dan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lenggong, di sini, pagi tadi.

Tambahnya lagi, perbezaan parti politik bukan kriteria diambil kira bagi menentukan rakyat layak mendapat BR1M kerana pemerintah mestilah berlaku adil kepada rakyatnya, tidak melihat perbezaan politik.

“Kalau kita sebut syukur tapi tak berterima kasih kepada pemberi bantuan ertinya kita tidak bersyukur kepada ALLAH.

“Yang usahakan projek di sini (PPR Lenggong) adalah pemimpin atasan di sini. Untuk bersyukur kepada ALLAH, perlu berterima kasih kepada mereka yang beri dan usahakan projek ini.

“Jadi, janganlah beri Lenggong kepada orang lain, berilah kepada kami (BN) kerana kita dah bantu rakyat secara keseluruhannya,” ujarnya.