Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Brandlaureatte hari ini menafikan dakwaan Parti Amanah Negara (Amanah) Perak bahawa Anugerah Kepimpinan Ikon Jenama Pembangunan yang diterima Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, dibeli.

Presidennya, Dr KK Johan berkata, kenyataan Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi adalah menghina dan memfitnah integriti Anugerah Brandlaurette itu sendiri.

Beliau menegaskan, Anugerah Game Changer Icon bukan boleh dibeli dengan nilai wang ringgit dan setiap penerima diiktiraf berdasarkan keputusan merit dan pencapaian masing-masing.

“Kami ingin permohonan maaf dikemukakan untuk perkara ini, kalau ianya tidak dilaksanakan, kami akan menggunakan hak perundangan untuk menuntut ganti rugi atas kecelaan reputasi dan integriti kami,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Dalam kenyataan itu, Dr KK Johan berkata, keputusan mengiktiraf anugerah kepada Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dinilai berdasarkan pencapaiannya sebagai pemimpin negeri serta sumbangannya terhadap pembangunan dan kemajuan Perak dan Malaysia.

“Sebagai sebuah asas penjenamaan, misi kami adalah untuk mempromosikan jenama dan penjenamaan, sebagai komponen penting dalam kemajuan dan pembangunan setiap negara dan organisasi, “ katanya.

Sebelum ini, Asmuni mendakwa anugerah Game Changer Icon yang diberikan kepada Dr Zambry, adalah hasil daripada pembayaran oleh Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Perak.

Dakwanya, MB Inc membayar RM381,113.86 untuk “membeli” anugerah daripada Brandlaureatte.