IPOH: Seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai terlanggar lori yang mengundur sendiri di Kilometer 263.1, Lebuhraya Utara Selatan arah utara, berhampiran Terowong Menora, pada Isnin petang.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby,  mangsa, Mohd Najib Ismail, 21 beralamat di Batu Pahat, Johor.

Katanya, kira-kira jam 3 petang, pihaknya menerima panggilan telefon dari orang awam mengenai kemalangan itu.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati, kemalangan melibatkan sebuah lori yang dipandu dari Sungai Buloh menghala ke Gerik. 

“Sampai di tempat kejadian pemandu lori telah berhenti di Vista Point seketika untuk menyejukkan injin.

“Kemudian lori secara tiba-tiba mengundur dari laluan Vista Point ke tengah jalan dan telah dilanggar motosikal yang berada dibelakangnya,” katanya di sini.

Menurut Mohd Ali, pemandu lori mendakwa, semasa mengundur brek lori tersebut gagal berfungsi. 

Bagaimanapun, katanya, ketika kemalangan berlaku, pemandu lori tidak berada di dalam kenderaan tersebut.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan parah, maut di tempat kejadian dan disahkan oleh paramedik dari Hospital Raja Pemaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Pemandu lori yang berusia 48 tahun ditahan dan akan dibawa ke HRPB Ipoh untuk diambil sampel darah dan air kencing bagi tujuan analisis kandungan alkohol dan dadah. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.