IPOH – Jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) Perak perlu memastikan anak muda negeri yang tinggal di luar pulang ke kawasan masing-masing untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Pengerusi Pemuda BN Perak, Khairul Azwan Harun berkata, mereka juga perlu memastikan golongan berkenaan mengundi calon-calon BN yang bakal bertanding di kesemua kerusi parlimen dan DUN negeri itu.

“Mulai saat ini jentera Briged Gempur mesti berani ke hadapan bukan sahaja mempertahankan bendera dan perjuangan kita tapi perlu cari sahabat-sahabat anak muda yang tak mahu balik, balik mengundi.

“Tak guna berucap sana sini, laungan yang kuat dan kumpul beramai-ramai tapi kita gagal terjemahkan undi anak muda kepada BN,” katanya ketika berucap di hadapan 3,000 pemuda BN pada Majlis Himpunan Jentera Briged Gempur 2314 Pemuda BN Negeri Perak, di sini pada Ahad.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

 

Dalam majlis itu, beliau juga turut merayu kepada Dr Zambry untuk memastikan jumlah golongan muda yang bakal bertanding pada PRU-14 ditambah berbanding pilihan raya lalu.

“Saya merau pusingan terkahir ini tolong cuba sedaya upaya untuk memastikan lebih ramai calon anak muda diketengahkan, kita mahu kombinasi lama dan baru ini menang pada PRU-14,” katanya.

Susulan itu, Dr Zambry dalam sidang medianya selepas majlis berkenaan mengesahkan lebih ramai calon dari pemuda, puteri dan wanita BN Perak akan bertanding pada PRU-14 berbanding pilihan raya lalu.

Beliau ketika memberi bayangan itu berkata, keputusan itu dibuat bagi membuka peluang kepada golongan muda dapat terlibat secara aktif dalam soal pentadbiran dan pengurusan sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri.

“Saya tidak nafikan akan ada calon-calon daripada pemuda, puteri dan wanita, kita jangkakan keseluruhan calon-calon daripada BN ini akan lebih ramai, ia melibatkan kesemua parti komponen juga,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.