IPOH : Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) telah mencatat banyak kejayaan selepas imejnya tercalar ekoran pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, mereka telah menjalakan tugas dengan baik seperti mengawal sempadan negara, membantu operasi khazanah, membenteras penyeludupan dan mencegah pencerobohan hutan.

Menurutnya, selepas pendedahan yang dibuat SPRM pada Oktober lalu, beliau telah mengadakan pertemuan dari hati ke hati dengan komander-komander briged di PGA.

“Hasilnya kejayaan meningkat, hasil rampasan dan pembenterasan penyeludupan meningkat berjuta-juta, tangkapan pendatang tanpa izin, penyeludupan binatang exotik, pemburu haram dan pencerobohan hutan yang cuba merosakkan flora dan fauna,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) 456 penerima di Kem Pasukan Gerakan Am di Hulu Kinta, di sini, hari ini.

Pada 18 Oktober tahun lalu, SPRM mendedahkan kegiatan penyeludupan yang berleluasa di sempadan Malaysia-Thailand, dipercayai turut melibatkan pihak berkuasa.

Penguasa Kanan Audio dan Video, Bahagian Forensik SPRM, Badri Azni berkata, berdasarkan rakaman video yang dirakam sejak 2017 hingga Mei 2019, tindakan mereka seolah-olah mendapat keizinan daripada penguat kuasa.

“Sebaik sahaja sudah mendapat kebenaran, kenderaan yang membawa barangan untuk diseludup tiba, sebelum ‘tentera semut’ menuju ke pagar sempadan untuk memulakan aktiviti pemunggahan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM.

SPRM turut mempertontonkan klip video yang menunjukkan bagaimana kegiatan penyeludupan berlaku di Padang Besar, Perlis dan penguat kuasa pula hanya berdiam diri tanpa mengambil sebarang tindakan.

Abdul Hamid berkata, selepas pendedahan itu, pegawai dan anggota PGA sekarang lebih bersemangat untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

Antara kejayaan ketara ialah peningkatan nilai rampasan kepada lebih RM11.5 juta sepanjang tahun 2019, berbanding hanyak kira-kira RM2.7 juta tahun 2018.