NEW YORK 9 Dis. – Mesyuarat tergempar yang diadakan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) malam tadi menjadi medan bagi negara-negara anggota lain mengutuk tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel.

Lapan buah negara yang dike­tuai Britain telah memanggil mesyuarat tergempar itu diadakan di Ibu pejabat PBB, New York selepas ribuan rakyat Palestin termasuk jutaan umat Islam di seluruh dunia menyatakan bantahan mereka termasuk mengadakan tunjuk perasaan.

Pada mesyuarat itu, AS dan Israel mempertahankan tindakan Trump biarpun masyarakat antarabangsa tidak pernah mengiktiraf hak Israel ke atas bandar Baitulmuqaddis.

Duta Besar dan Pemerhati Tetap Palestin di PBB, Riyad Mansour ketika berucap di mesyuarat menegaskan, tindakan AS itu menyebabkan negara kuasa besar itu tidak lagi layak untuk memimpin usaha mencari penyelesaian kepada konflik melibatkan Israel-Palestin.

“Keputusan AS tidak me­ngubah prinsip undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB sebelum ini yang mengatakan bahawa Israel harus menamatkan pendudukan mereka di Baitulmuqaddis Timur.

“Status bandar ini tidak boleh diubah secara uniliteral atau ditentukan oleh mana-mana negara dan keputusan AS perlu dipertimbangkan semula dan dibatalkan,” tegasnya.

Ketika penutupan mesyuarat berkenaan, Duta Besar Britain, Perancis, Itali, Sweden, dan Jerman ke PBB turut mengeluarkan deklarasi bersama untuk me­negaskan pendirian mereka menolak keputusan yang dibuat Trump pada Rabu lalu.

Dalam deklarasi tersebut, lima negara berkenaan turut menggesa pentadbiran AS mengemukakan cadangan terperinci bagi menyelesaikan isu penempatan penduduk Palestin dan Israel di wilayah bergolak itu.

“Kami tidak bersetuju dengan keputusan AS dan kami tetap menganggap Baitulmuqaddis Timur sebagai sebahagian daripada wilayah Palestin yang diduduki Israel. Kami menggalakkan pentadbiran AS untuk mengemukakan cadangan terperinci bagi penempatan penduduk Israel dan Palestin.

“Ahli EU juga akan me­nge­kalkan pendirian bahawa status Baitulmuqaddis mesti ditentukan melalui rundingan antara Israel dan Palestin yang membawa kepada perjanjian status akhir,” jelas deklarasi itu.

Walaupun mendapat tentangan, Duta AS ke PBB masih lantang mempertahankan keputusan Trump dengan menuduh konon­nya PBB bersikap berat se­belah terhadap Israel dan menjadi punca ketegangan di negara Asia Barat.

“Selama bertahun-tahun PBB telah secara keterlaluan menjadi salah satu pusat terpenting di dunia terhadap permusuhan dengan Israel.

“PBB telah melakukan lebih banyak kerosakan dalam prospek perdamaian di Asia Barat daripada memajukan mereka,” katanya.

Sementara itu, ratusan umat Islam menunaikan solat Jumaat di hadapan bangunan White House bagi membantah tindakan Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Kebanyakan yang hadir menyahut seruan organisasi Islam AS, bertindak membentang sejadah di kawasan taman di hadapan kediaman Presiden.

Umat Islam yang hadir memakai selendang bercorak bendera Pa­lestin selain mereka memegang sepanduk mengutuk tindakan Israel menguasai timur Baitulmuqaddis dan Tebing Barat.

“Trump tidak memiliki sebidang tanah di Baitulmaqdis dan Palestin. Dia hanya memiliki Menara Trump. Dia boleh menye­rahkannya kepada rakyat Israel,” kata Pengarah Eksekutif Majlis Hubungan Amerika Islam (CAIR), Nihad Awad.

Bercakap bersama tokoh-tokoh terkenal lain dari masyarakat Islam AS semasa demonstrasi itu, Nihad meminta Trump untuk meletakkan kepentingan rakyat AS terlebih dahulu dan bukannya kuasa asing atau pelobinya di AS.–