IPOH : Bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pembayar cukai, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak melantik Bank Simpanan Nasional (BSN) sebagai agen terbaharu kutipan cukai tanah di seluruh negeri.

Pengarah PTG Perak, Datuk Syed Mokhtar Syed Iddris berharap, kerjasama itu akan memudahkan lagi rakyat untuk membayar cukai tanah masing-masing.

 “Di samping itu, BSN juga mempunyai rangkaian perkhidmatan Ejen Bank Berdaftar (EBB) hampir 7,000 dan ini membantu capaian bayaran cukai tanah, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di pejabatnya di sini pada Jumaat.

 Turut hadir, Naib Presiden Kanan Jabatan Peruncitan dan Perniagaan Komuniti BSN, Datuk Mearia Hamzah.

 Syed Mokthar berkata, dengan pelantikan baharu itu, pihaknya yakin bahawa kutipan hasil tanah di seluruh negeri akan terus meningkat.

 Menurut beliau, fokus utama agen-agen yang sedia ada bukan sahaja membantu meningkatkan saluran bayaran, malah untuk membantu kerajaan negeri meningkatkan kutipan dan tunggakan cukai tanah.

 “Kerajaan negeri perlu memastikan kutipan cukai semasa dan tunggakan cukai tanah dilaksanakan dengan berkesan bagi mengelakkan kekurangan kutipan hasil.

 “Semua pihak, termasuk PTG juga perlu mempunyai kesedaran bahawa ianya diperlukan untuk membiayai pengurusan dan pembangunan negeri, demi kepentingan serta kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

 Sementara itu, Mearia berkata, Perak merupakan negeri kedua selepas Melaka yang mengambil inisiatif menjadikan BSN sebagai ejen kutipan cukai.

 Beliau memberitahu, BSN mempunyai 48 buah cawangan dan lebih 114 mesin ATM dan CDM di seluruh negeri Perak.

Buat masa ini, katanya, bayaran cukai boleh dibuat di kaunter-kaunter BSN dan di masa akan datang, pemilik tanah boleh membuat bayaran melalui EBB BSN dan secara atas talian.