IPOH – “Sekolah yang lepas saya pakai baju lama saja, ayah tak cukup duit nak beli baju baru.”

Itu luahan Muhd Syafiq Mohd Sharie, 10, seorang daripada 80 murid yang terpilih menerima bantuan kelengkapan persekolahan daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi program ‘Jom To School With BSN’, semalam.

Muhd Syafiq berkata, dia memahami kekangan ayahnya yang bekerja sebagai pemandu lori dalam menyediakan keperluan sekolah untuk mereka empat beradik.

Dia kini gembira apabila diberi peluang memilih kelengkapan baru untuk sesi persekolahan tahun depan.

“Seronok dan saya jadi lebih semangat nak sekolah tahun depan,” katanya.

Seorang lagi penerima, Iqbal Rifqi Ramli, 8, mengakui sudah lama teringin menyertai program seperti ini kerana dapat membantu meringankan beban keluarga.

Iqbal Rifqi gembira terpilih menyertai ‘Jom To School With BSN’.
Katanya, dia mempunyai ahli keluarga yang besar iaitu seramai lapan orang dengan lima daripadanya bersekolah.

“Mak tak kerja, ayah kerja pengawal keselamatan, sekurang-kurangnya belanja untuk keperluan baru sekolah saya dah lepas,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah BSN Perak, Mazlan Mat Jalil berkata, menerusi program itu, setiap murid menerima bantuan persekolahan berupa satu set pakaian sekolah, stokin, kasut dan alat tulis.

Katanya, BSN juga mendepositkan RM50 ke dalam akaun murid yang menerima sumbangan bantuan persekolahan itu.

“Program julung kali diadakan ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat BSN kepada masyarakat dan kesemua murid dari 16 sekolah yang terpilih adalah kalangan keluarga kurang berkemampuan.

“Semoga dengan sumbangan ini dapat membantu mereka membuat persiapan persekolahan akan datang,” katanya.

Penyerahan disempurnakan Ketua Sektor Pembangunan Kemanusian Jabatan Pendidikan Perak, Mat Jaafar Mat Zain.

‘Jom To School With BSN’ yang bermula 15 November lalu akan berakhir 24 November ini di Terengganu.

Selain Perak, program sama berlangsung serentak di Kelantan, Pahang, Pulau Pinang dan Sabah, semalam – sinar