SEKUMPULAN penjenayah sempat mengait buah mangga di rumah diceroboh mereka di Pujut 6, Miri, semalam sebelum melarikan pelbagai barangan berharga milik mangsa.

Difahamkan, kejadian disedari mangsa yang juga pasangan suami isteri berusia lingkungan 40-an selepas terjaga dari tidur kira-kira 4 pagi apabila mendapati bahagian dalam rumah mereka berselerak.

Jurucakap Jawatankuasa Penduduk (JKP) Miri, Malateh Mahmud berkata, antara barangan berharga dilaporkan hilang ialah telefon bimbit dan wang tunai yang dianggarkan bernilai lebih RM2,000.

“Kunci kereta Proton Saga milik mangsa turut hilang, namun ditemui ditinggalkan suspek dalam kereta berkenaan.

“Ada kemungkinan suspek pada mulanya ingin mencuri buah mangga berdasarkan penemuan dua galah buluh yang ditinggalkan mereka.

“Hasil pemeriksaan lanjut turut menemui satu playar dipercayai digunakan kumpulan terbabit untuk mengumpil tingkap sebelum memecah masuk ke rumah mangsa,” katanya.

Katanya, JKP Miri kemudian membawa pasangan terbabit ke Balai Polis Pusat Miri untuk membuat laporan berhubung kejadian itu – hmetro