Oleh: Aida Aziz

KESUNGGUHAN seorang pesara, Abdullah Daud, 63, mengusahakan tanaman pokok tin di Perak Tengah, ternyata membuahkan hasil apabila buah syurga yang disebut dalam al Quran itu, mendapat permintaan hangat di pasaran.

Pokok tin (dalam bahasa Melayunya, buah ara) atau nama saintifiknya Ficus Carica masih dikira baru dan belum dikenali secara meluas di pasaran Malaysia walaupun sudah lama popular sebagai makanan pembuka selera dan salad di Barat.

Menurut Abdullah, kebaikan yang ada pada buah tin adalah apabila ia dikatakan boleh mencegah pelbagai penyakit termasuk merendahkan kolestrol dan mencegah kanser.

“Pada mulanya saya tanam sekadar hobi sebelum ia berkembang menjadi sebuah perniagaan untuk menambah pendapatan.

“Ramai orang mahu mendapatkan buah ini kerana ia kaya dengan serat, vitamin A, E, K dan sumber mineral,” katanya kepada Suara Perak.

buah_syurga_titi_gantungAbdullah yang mengusahakan ladang tin bernama Fig Orchard di Lot 3920 Taman Indera Barat, Titi Gantung, Bota, pada tahun 2016, turut dibantu oleh ahli keluarga dan seorang pekerja.

Setakat ini, katanya, terdapat lebih 600 pokok tin dari pelbagai spesis ditanam di sini, sebahagiannya dikumpul dari negara Timur Tengah, Eropah dan Asia.

“Pokok tin mula mengeluarkan hasil seawal empat bulan selepas ditanam. Hasil buah yang telah dipetik akan dipasarkan secara online di laman Facebook Fig Orchard.

“Ada juga pembeli yang datang terus ke ladang untuk membeli keratan dan anak pokok, manakala harga pula bergantung kepada spesies. Kebiasaannya harga buah tin ialah RM60 – RM80 sekilogram,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdullah memberitahu, cabaran yang terpaksa ditempuh beliau dalam mengusahakan tanaman itu ialah kesegaran buahnya hanya bertahan dalam jangka masa tiga hari.

“Selepas dipetik, kualiti buah ara akan mula merosot dan lembi. Oleh itu pihak pengurusan hanya memetik buah segar dan dihantar terus kepada pembeli yang sudah membuat pesanan.

“Cabaran lain pula ialah serangan haiwan liar seperti monyet dan burung kerana ia ditanam secara terbuka di ladang,” katanya.

Tidak terhad kepada penjualan anak pokok dan buah, Abdullah yang dibantu oleh anaknya, Azlan, sedang merangka strategi bagi mempelbagaikan produk hiliran seperti jem, halwa dan aiskrim buah tin.

Beliau menjelaskan, perancangan terdekat adalah untuk menghasilkan jem buah tin yang kini sudah mencapai fasa akhir penyelidikan dan percubaan.

“Buah tin yang sudah masak akan berubah menjadi warna merah, ia sesuai dijadikan jem. Kami juga ada mengeluarkan teh daun tin.

“Kepada yang baru berjinak-jinak untuk menanam, disarankan membeli anak pokok yang telah disemai dalam polybag agar lebih stabil serta mengeluarkan hasil yang cepat,” katanya.

Abdullah berkata, Fig Orchard bersedia menerima pelawat yang ingin mengadakan lawatan ladang, selain menjalinkan hubungan perniagaan dengan pengusaha yang berminat menceburi perniagaan buah tin.