KUALA LUMPUR: Semua ahli Parlimen Umno mengisytiharkan taat setia “tidak berbelah bahagi” kepada Umno dan tidak menyatakan hasrat untuk bertukar parti, kata Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa.

Mereka menegaskan ketaatan dan kesetiaan kepada Umno dalam pertemuan dengan Presiden Ahmad Zahid Hamidi semalam.

Annuar menyangkal dakwaan kumpulan ahli Parlimen Umno yang bertemu Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali di kediamannya minggu lepas mahu menyertai parti lain.

“Apatah lagi parti yang kalah 15,000 undi pada pilihan raya kecil,” katanya merujuk kepada keputusan PRK Tanjung Piai pada 16 Nov lepas, yang menyaksikan Pakatan Harapan mengalami kekalahan besar.

“Bodohnya cari masalah tanpa sebab, lebih baik bersama Umno, bersama pemenang,” katanya lagi kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat Umno hari ini.

Azmin mengecilkan kepentingan pertemuan dengan 22 ahli Parlimen Umno itu, mengatakan ia sebahagian daripada libat urusnya dengan wakil-wakil rakyat untuk mendapatkan maklum balas mengenai dasar-dasar kerajaan.

Pertemuan itu turut dihadiri bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein.

Mengulas perkara itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Azmin memberitahunya mereka mengadu parti mereka sudah hilang arah dan meminta nasihatnya sama ada hendak masuk parti lain atau tidak.

Annuar berkata Mahathir atau Azmin berkata tidak benar.

“Mungkin Azmin beri laporan tidak benar, atau pun Azmin beri laporan benar tapi Mahathir kata tidak benar,” katanya.

Tapi yang pasti semua ahli Parlimen berkenaan secara terbuka menafikan kenyataan Mahathir itu, tambahnya.

Annuar berkata siasatan jawatankuasa disiplin terhadap wakil-wakil rakyat terlibat akan dijalankan secara “tanpa prejudis”.

Mengenai Perhimpunan Agung Umno pada 4 Dis ini, Annuar berkata ia akan tumpu pada pindaan terhadap perlembagaan parti.

Pindaan-pindaan yang dicadangkan termasuk memberikan autonomi kepada Umno Sabah.