Kuala Lumpur‘: Masyarakat kita masih kurang kesedaran sivik. Suka atau tidak, itulah yang perlu kita akui apabila menyentuh isu vandalisme membabitkan perkhidmatan perkongsian sewa basikal tanpa stesen yang pertama di Malaysia, oBike.

Perkhidmatan sewa basikal itu disediakan dengan tujuan utama untuk memudahkan dan membantu pengangkutan orang ramai menggunakan konsep mesra alam, tetapi perkara sebaliknya pula yang berlaku.

Bukan saja dirosakkan malah ada yang sanggup mencuri basikal terbabit dan membawanya ke kediaman masing-masing tanpa sekelumit pun perasaan bersalah.

Meskipun sedar perbuatan itu salah di sisi agama dan undang-undang, masih ramai yang sanggup membutakan mata bersikap tidak mengambil peduli apa yang berlaku dalam kalangan masyarakat mereka.

OBIKE dibuang begitu saja tanpa diletakkan di tempat yang disediakan.

Fazillah Abd Manan, 42, berkata, dia pernah terserempak dengan sekumpulan remaja yang mengusung basikal terbabit ke kawasan kediaman masing-masing di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai, Pantai Dalam.

Katanya, ia bukan berlaku sekali dua, tetapi kerap kelihatan sejak kebelakangan ini.

“Mereka menggunakan basikal terbabit tanpa rasa segan silu, seolah-olah ia milik mereka sepenuhnya.

“Selain itu, ada yang merosakkan basikal dan kemudian meninggalkan ia begitu saja di bawah jejantas dan kawasan padang permainan.

“Bagi saya, untuk mengatasi isu vandalisme oBike ini penguatkuasaan saja tidak mencukupi kerana apa yang penting, masyarakat dan ibu bapa perlu prihatin serta mengambil perhatian terhadap aktiviti harian anak masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, isu vandalisme oBike bukan hanya membabitkan masyarakat tempatan sebaliknya juga membabitkan warga asing.

OBIKE yang ditinggalkan di luar kawasan PPR.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Bangsar mendapati kemudahan itu disalah guna pekerja warga asing.

Ada yang meletakkannya di depan kediaman yang disewa dan ada juga dibiarkan di tepi longkang.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran OBike, Elaine Chan dalam kenyataannya sebelum ini berkata, oBike sudah meningkatkan ciri keselamatan pada basikal seperti memasang tempat duduk yang tidak boleh ditanggalkan, menaik taraf kunci pintar dan aplikasi yang mana penunggang akan dimaklumkan sebaik saja menunggang di luar zon yang ditetapkan.

Kata Elaine, kebanyakan kes vandalisme ke atas basikal syarikat itu dilakukan oleh bukan pelanggan malah ada yang mencuri dan membawa pulang basikal itu ke rumah.

Selain itu kata beliau, ada juga dalam kalangan pelanggan yang meletakkan basikal di tempat tidak sepatutnya seperti di kawasan persendirian dan mereka yang melakukannya boleh dianggap sebagai mencuri dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Mereka yang ditangkap kerana merosakkan basikal oBike boleh didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

“Hukuman yang dikenakan antaranya penjara maksimum lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.-metro