KUALA LUMPUR – Bekas ahli seumur hidup PKR, Badrul Hisham Shahrin mencabar Muhammad Yusoff Rawther membuat laporan polis sekiranya benar dakwaan menerima gangguan seksual daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegubard menegaskan, cucu Allahyarham S.M Mohamed Salim itu perlu mencari keadilan dan bukan bergantung dengan bantuan ahli politik untuk mendapat pembelaan.

“Orang Malaysia sudah muak dan yang penting sekarang ini ialah negara kita sedang berdepan dengan cabaran ekonomi dan pentadbiran.

“Tak boleh lagi asyik terperangkap berpuluh tahun, bercerita isu demikian dan akhirnya kita tak pergi ke mana. Saya cakap dengan dia, Yusoff aku simpati, kau buatlah tindakan sendiri, nak buat kenyataan media atau apa sahaja.

“Kalau betul Yusoff kamu cakap itu kamu teguh kepada pendirian, kamu buatlah laporan polis, masih ada ruang lagi. Saya cabar dia,” katanya pada sidang media di Taman Melawati hari ini.

Semalam, Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mendakwa Chegubard mendalangi sidang media pendedahan Muhammad Yusof menjadi mangsa perbuatan tidak bermoral seorang pemimpin politik, semalam.

Farhash mendakwa perbuatan Chegubard itu cuba mencemari imej dan bertujuan menghuru-harakan PKR.

Hari ini, Anwar juga menafikan dakwaan Muhammad Yusoff dan mendakwa ia niat jahat menjelang Kongres Nasional PKR.

Dalam sidang media Muhammad Yusoff semalam, bekas penyelidik kepada Anwar itu mendakwa melakukan jenayah yang digambarkan kepada pemimpin terbabit sebagai perbuatan keji, teruk, tersembunyi, tidak Islamik, berbahaya dan tidak bermoral.

Bagaimanapun Muhammad Yusoff tidak memperincikan perbuatan jenayah itu sebaliknya ia terkandung dalam akaun bersumpah (SD) yang belum didedahkan kepada umum.

Dalam pada itu, Badrul Hisham mengakui sebelum itu beliau dihubungi Muhammad Yusoff meminta membantu membawa isu terbabit kepada pengetahuan umum.

Menurut Badrul, apabila permintaan Muhammad Yusoff itu ditolak, bekas kakitangan Anwar itu memetiknya namanya dalam sidang media semalam.

“Saya merasa kekecewaannya, sebab itu semalam dia nak rasa kecewa dengan saya. Isu dia kecewa dengan saya atau mana-mana ahli politik terpulang.

“Saya difahamkan, selepas itu dia ada jumpa dengan ahli politik dan nyatakan kekecewaan (Badrul) tak nak bertindak. Sebab itu saya kata kepadanya, pertama sekali dalam konsep mencari keadilan ialah kena cari keadilan untuk diri sendiri.

“Sebab itu saya cabar dia buat laporan polis, jadikan kes ini kalau dia yakin dengan kes ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette