BAYAN LEPAS – Hanya kerana tidak mahu teman wanitanya pulang ke negara asal, seorang lelaki sanggup meminta rakannya membuat panggilan palsu konon terdapat bom di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, pihaknya dimaklumkan perkara itu selepas Pejabat Pegawai Keselamatan Malaysia Airport Bhd menerima panggilan daripada seorang lelaki memberitahu ada bom di lapangan terbang itu pada jam 1.10 petang 9 Ogos lalu.

“Lelaki tersebut memberitahu terdapat bom di dua kaunter penerbangan murah termasuk sebuah kaunter mendaftar masuk. Bimbang perkara tidak diingini berlaku, Malaysia Airport Bhd memaklumkan kepada polis untuk bantuan.

“Unit Pemusnah Bom dan Unit K9 membuat pemeriksaan sehingga semua kawasan di LTAPP dipastikan selamat. Bagaimanapun, tiada sebarang bom atau alatan disyaki bom dijumpai. Hasil siasatan mendapati ia adalah satu panggilan palsu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, selepas siasatan awal dilakukan polis menahan tiga suspek termasuk seorang wanita Indonesia berusia 38 tahun pada jam 9.10 malam tadi.

“Wanita ditahan selepas dia kembali semula ke negeri ini kelmarin. Dia pulang ke negara asalnya pada 9 Ogos lalu manakala teman lelakinya yang juga suspek kedua ditahan di Pintu 1, LTAPP ketika hendak menjemput teman wanitanya itu.

“Suspek ketiga yang berusia 22 tahun iaitu rakan kepada lelaki tersebut ditahan di Jitra, Kedah. Polis turut merampas dua telefon bimbit dipercayai digunakan untuk membuat panggilan tersebut daripada semua suspek,” katanya.

Anbalagan berkata, nombor telefon yang digunakan untuk membuat panggilan palsu itu didaftarkan atas nama wanita Indonesia namun diguna pakai teman lelakinya.

“Selepas siasatan dibuat, ketika dalam perjalanan ke LTAPP untuk menghantar teman wanitanya pulang, berlaku salah faham antara pasangan tersebut. Bagi mengelakkan wanita itu pulang, teman lelakinya meminta rakannya membuat panggilan palsu ke LTAPP.

“Tindakan itu dibuat dengan harapan jadual penerbangan ke Medan, Indonesia akan tergendala. Suspek ketiga mengakui melakukan panggilan tersebut menggunakan telefon bimbit suspek kedua selepas diminta berbuat demikian.

“Semakan dilakukan dan mendapati suspek kedua yang berusia 38 tahun mempunyai lima rekod jenayah melibatkan dadah manakala rakannya satu rekod jenayah. Kedua-duanya berasal dari Jitra, Kedah,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.

“Kita memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab seperti ini. Semua pihak diberi amaran agar tidak membuat panggilan palsu atau menyalahgunakan media sosial untuk kepentingan peribadi sehingga menyusahkan semua pihak,” katanya.