HULU BERNAM: Buaya Jenjulung yang muncul berdekatan Empangan Sungai Bernam, dekat sini, sejak tiga minggu lalu, ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) jam 8 pagi tadi.

Nelayan Sungai Bernam, Shaharin Samsuddin, 59, berkata buaya bermuncung tirus dan panjang itu ditangkap dengan menggunakan tali sebelum ditarik naik ke tebing sungai.

Katanya, buaya sepanjang empat meter dan beratnya kira-kira 100 kilogram ditangkap dengan mudah kerana reptilia itu jinak dan akan muncul apabila menyedari kehadiran manusia.

“Pihak PERHILITAN mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkap buaya itu dan menaikkannya ke tebing menggunakan tali yang diikat pada badan dan mulut buaya berkenaan.

“Kawasan empangan itu memang menjadi tumpuan nelayan darat dan kaki pancing kerana mempunyai pelbagai spesies ikan, namun dengan tertangkapnya buaya itu mereka tidak perlu risau lagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

NSTP semalam melaporkan orang ramai khususnya pemancing bimbang dengan kehadiran buaya Jenjulung di empangan berkenaan yang disedari sejak tiga minggu lalu.

Buaya sepanjang empat meter dilihat muncul sehingga ke tebing sungai walaupun dengan kehadiran orang ramai atau pemancing di sungai itu.

Kemunculan reptilia air tawar atau nama saintifiknya Malayan gharial (Tomistoma schlegelii) yang mempunyai muncung tirus menyebabkan kawasan terbabit menjadi tumpuan – berita harian