KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob menggesa Parlimen dibubarkan susulan kurangnya kuorum di Dewan Rakyat sehingga lonceng dibunyikan untuk mengingatkan anggota dewan.

Beliau berkata kejadian hari ini satu peristiwa malang seperti menteri dari Pakatan Harapan (PH) tidak berminat dengan perbahasan dalam Dewan Rakyat.

“Untuk cukup kuorum saya difahamkan perlu ada sekurang-kurangnya 26 ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.

“Ini pun tak ada. Saya cadangkan kepada pihak kerajaan bubar sahajalah Parlimen ini dan kita pilih ahli Parlimen yang baru dan lebih berminat untuk hadir berbahas dalam dewan ini,” katanya ketika ditemui di lobi bangunan Parlimen.

Dewan Rakyat ditangguh kira-kira 10 minit apabila Timbalan Speaker, Nga Kor Ming terpaksa membunyikan loceng memanggil ahli-ahli Parlimen masuk ke dewan.

“Memang ramai yang hadir tapi tak masuk ke dewan,” katanya ringkas.

Sementara itu, Ismail berkata ketidakhdiran menteri-menteri PH seperti menjadi trend bermula Isnin lalu.

Beliau berkata kehadiran menteri PH sangat penting di Dewan Rakyat.

“Hari Isnin hanya timbalan perdana menteri (Dr Wan Azizah Wan Ismail) yang ada untuk mendengar ucapan.

“Hari Rabu hanya timbalan menteri pendidikan (Teo Nie Ching) sahaja yang ada dalam Dewan Rakyat,” kata beliau yang juga naib presiden Umno.

Ismail berkata menteri lain tidak ada dalam perbahasan Belanjawan 2020 termasuk menteri dan timbalan menteri kewangan.

“Walaupun belanjawan itu belanjawan yang melibatkan kementerian kewangan, dua-dua pun tidak ada.

“Hari ini sampai ke tahap yang lebih malang apabila 26 (anggota) pun tidak ada dalam dewan dan dewan terpaksa petik loceng panggil kuorum,” katanya