PERAIH getah yang berkahwin dengan budak berusia 11 tahun akan menghantar isterinya belajar di pondok agama sebaik saja kemelut yang melanda rumah tangga mereka selesai.

Lelaki itu berkata pendekatan itu satu usaha supaya isterinya mendalami agama selain mematangkan diri sebelum mereka menjalani kehidupan sebagai suami isteri yang sebenar sebaik sahaja dia berusia 16 tahun.

Malah katanya, kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Wanita Negeri, Mumtaz Md Nawi, baru-baru ini juga turut menyampaikan pesanan dan nasihat kepadanya supaya menjaga kanak-kanak itu sebaik mungkin.

“Saya bercadang mahu menghantar isteri ke sekolah, namun mungkin dia tidak berminat. Justeru, saya mahu dia belajar di pondok agama supaya lebih mendalami ilmu agama memandangkan dia masih muda.

“Namun, semua itu akan dilakukan selepas isu rumah tangga kami selesai sepenuhnya dan berharap orang ramai tidak lagi membesarkan isu ini,” katanya ketika dihubungi, di Kota Bharu, hari ini.

Peraih getah itu berkata, sejak semalam sehingga hari ini isterinya dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Kota Bharu, manakala dia memberi kenyataan di Balai Polis Gua Musang.

“Isteri saya bukannya pulang ke Thailand sebaliknya ke IPK memberi keterangan. Pihak polis sendiri datang mengambil isteri saya dan ibu bapanya untuk dibawa ke IPK.

“Saya berharap segala-galanya selesai secepat mungkin,” katanya – hmetro