SHAH ALAM : Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan bahawa alasan ‘tersilap bendera’ seperti dikemukakan pihak terlibat tidak boleh diterima kerana budak kecil berumur 5 tahun pun boleh mengetahui mana satu bendera Malaysia.

Sehubungan itu, Syed Saddiq berkata, beliau telah mengarahkan pejabat Pesuruhjaya Sukan untuk menyiasat dan mengambil tindakan segera susulan insiden tersebut.

“Kita marah jika orang asing perlekehkan bendera Malaysia. Kita bagaimana?” kata Syed Saddiq menerusi hantaran di akaun Facebook beliau hari ini.

Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) hari ini memohon maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya berhubung kesilapan memaparkan bendera Malaysia dengan lima bintang ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 semalam.

Bendera Malaysia dengan lima bintang itu dipaparkan menerusi klip video bersama logo Westport ketika nyanyian lagu Negaraku.

Westport adalah antara penaja rasmi Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 yang berlangsung dari 25 November hingga 1 Disember ini. -Sinar