KOTA TINGGI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun meninggal dunia jam 7 petang semalam, selepas empat hari menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, akibat terkena mercun.

Difahamkan, mangsa, Nuraqira Khaeefa Muhamad Saad, sebelum itu tidak sedarkan diri selepas cedera di bahagian kepala akibat bermain mercun ketika berada di kediaman keluarganya di FELDA Papan Timur.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah mengesahkan kejadian berlaku pada 14 Jun iaitu sehari sebelum Syawal.

“Kes berkenaan dilaporkan kepada polis pada 18 Jun lalu. Setakat ini, kita siasat mengikut Seksyen 304A Kanun keseksaan/Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 dan Seksyen 33 Akta kanak kanak.

“Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Susulan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan diminta menghubungi polis Kota Tinggi atau Pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (KBSJD), Asisten Superintendan Azizul Hamsar.

Difahamkan, jenazah kanak-kanak itu yang dibawa pulang ke rumah datuknya malam kelmarin, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Papan Timur, pagi tadi.