SEORANG budak lelaki berusia lima tahun dilaporkan telah digari dan ditahan selama lima jam kerana dia berkemungkinan menjadi ‘ancaman kepada Amerika Syarikat (AS). Kanak-kanak itu adalah salah seorang daripada lebih 100 orang yang ditahan di lapangan terbang di seluruh AS selepas Donald Trump menandatangani perintah mengharamkan perjalanan untuk tujuh negara Islam. Di Lapangan Terbang Dulles, Washington DC, budak lelaki itu didakwa dipisahkan daripada ibunya selepas dia dianggap sebagai salah seorang yang mungkin menimbulkan ancaman. Dia kemudian telah dikenal pasti sebagai seorang warganegara AS yang tinggal di Maryland.
Bercakap selepas kejadian itu, Setiausaha Akhbar Donald Trump Sean Spicer berkata: “Adalah salah dan tidak bijak untuk menganggap seseorang itu tidak akan menimbulkan ancaman hanya kerana usia dan jantina mereka.”

Budak kecil itu dilihat di saluran CNN diberikan ciuman oleh ibunya apabila mereka dipertemukan semula.

Menurut Mirror, Senator Chris Van Hollen, yang mendedahkan bahawa kanak-kanak itu adalah dari AS, menyifatkan kejadian itu sebagai ‘keterlaluan’. Beliau didakwa berkata bahawa kanak-kanak itu ditahan walaupun pihak berkuasa mempunyai notis awal kedatangannya.
Van Hollen menambah bahawa beliau kemudian cuba untuk memeriksa jika budak itu telah dilepaskan, tetapi pihak berkuasa lapangan terbang menolak untuk memberikan sebarang maklumat kepadanya.

Pada Jumaat, Trump menandatangani perintah eksekutif mengharamkan pelarian dari memasuki AS. Beliau mendakwa perintah itu dibuat untuk ‘melarang pengganas radikal daripada memasuki AS. Tiada visa baru akan dikeluarkan kepada rakyat Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria atau Yaman untuk sekurang-kurangnya 30 hari. Pengharaman untuk rakyat dan pelarian Syria dibuat tanpa had. Pelarian dari enam negara lain diharamkan memasuki AS untuk 120 hari.

-sumber metro UK