SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak perempuan berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) ditemui dalam keadaan tidak bermaya bersama mayat bapanya di sebuah rumah di Taman Sri Wang di sini, semalam.

Kanak-kanak berusia lapan tahun itu dijumpai dalam keadaan lemah dan tidak terurus, dipercayai kerana tidak makan selama seminggu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kes itu kira-kira jam 6 petang.

Berikutan itu, sepasukan anggota bergegas ke lokasi dan mendapati pintu pagar hadapan rumah berkenaan berkunci.

“Selepas pintu pagar dibuka dan masuk ke dalam rumah, anggota kami menemui satu mayat dalam keadaan terlentang di ruang tamu.

“Berdasarkan keadaan fizikal mayat, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh lima hingga enam hari lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di dalam rumah berkenaan membawa kepada penemuan kanak-kanak terbabit dalam bilik yang tidak berkunci.

“Kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan tidak bermaya,” katanya.

Adzli berkata, pihaknya difahamkan lelaki berusia 48 tahun itu tinggal bersama anaknya di rumah sewa berkenaan sejak tujuh tahun lalu selepas isterinya yang juga warga Vietnam kembali ke negara asal.

Katanya, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

“Kanak-kanak itu sudah diserahkan kepada guru sekolah bagi tujuan rawatan dan penjagaan sementara,” katanya.

Mayat lelaki itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) – Berita harian