Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut manakala dua wanita cedera parah selepas dirempuh oleh sebuah van di kawasan gerai Pasar Malam Golden Hill,Cameron Highland pada malam Ahad.

Dalam kejadian tersebut, Adra Mustafa Kamal,3, yang berasal dari Kampung Tenglu Laut,Mersing,Johor difahamkan sedang membelek alat permainan di gerai pasar malam sebelum dirempuh oleh van berkenaan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Hasadid A. Hamid berkata, kanak-kanak perempuan kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata.

Jelas Hasadid, kejadian tersebut berlaku sekitar 9.45 malam semasa kanak-kanak itu bersama-sama ibu bapa serta dua beradiknya sedang memilih barang permainan di sebuah gerai sebelum dilanggar kenderaan terbabit.

“Seorang peniaga lelaki berumur 29 tahun yang mahu pulang daripada berniaga menekan pedal minyak kenderaannya dengan kuat supaya pelanggan memberi laluan kepadanya.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba van tersebut terus mara secara laju ke hadapan lalu melanggar beberapa buah gerai dan juga beberapa orang di pasar berkenaan termasuk si mati,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada pagi Isnin.

Hasadid berkata dua wanita yang mengalami patah kaki dan cedera di kepala masing-masing telah dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh bagi rawatan lanjut.

“Laporan polis mendapati pemandu mengalami kekejangan tidak sedarkan diri namun justifikasi kes mendapati pemandu dipercaya gagal mengawal kenderaan lalu merempuh mangsa.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu berkenaan ditahan bagi siasatan lanjut buat masa ini,”katanya lagi.