Oleh:Nazialita Geynna Maharan

LENGGONG: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menggalakkan rakyat Malaysia untuk menabung duit raya yang terkumpul sepanjang musim Syawal selama sebulan ke dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Pengerusinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, budaya itu harus disemai di kalangan rakyat Malaysia bermula dari usia kecil untuk menyuntik sifat berbelanja serta melabur secara bijak.

Katanya, selain menasihatkan anak anak kecil untuk mula menabung dengan duit lebihan, ibu bapa juga perlu menyemai bahawa pelaburan masa kecil akan mendatangkan faedah kepada mereka di masa depan.

IMG-20170722-WA0054

“PTPTN mengalakkan ibubapa untuk membudayakan budaya menabung di kalangan rakyat, kerana kita mahu mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan pendidikan melalui pendidikan sebaliknya beralih kepada simpanan.

“Selain itu, kita juga mempunyai skim pendidikan terbaik di Malaysia dengan tawaran komisen sehingga 4.5 peratus, dan terjamin dari segi kualiti dan pengurusannya,” katanya ketika ditemui Suara Perak di Jamuan Aidilfitri Ahli Parlimen Lenggong di sini pada Sabtu.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Lenggong berkata, ianya turut menepati hasrat PTPTN untuk melihat generasi yang bijak melabur serta menguruskan kewangan apatah lagi di dalam keadaan ekonomi yang mencabar hari ini.

SSPN-i Plus yang diperkenalkan pada Jun tahun lalu bukan hanya untuk simpanan pendidikan tetapi ia turut menawarkan perlindungan takaful, dividen serta mendapat pelepasan taksiran cukai hingga RM12,000 setahun dan patuh syariah.