Kuala Lumpur: “Ahmad dan Mohamad berpeluang menjalani kehidupan dengan lebih selesa hari ini semuanya kerana kemurahan hati kerajaan Arab Saudi dan Raja Abdullah Abdul Aziz (raja sebelum ini).

“Sampai bila-bila pun kami sekeluarga tidak dapat membalas jasa mereka, namun andai diberi peluang, saya ingin membawa Ahmad dan Mohamad bertemu Raja Arab Saudi (yang baru Raja Salman Abdul Aziz) ketika baginda melawat Malaysia minggu depan untuk menyatakan ucapan terima kasih,” demikian impian Rosli Abdul Rahim, 46, bapa kepada bekas pasangan kembar siam Ahmad dan Mohamad.

Pasangan yang menggemparkan negara itu berjaya dipisahkan dalam pembedahan di Hospital King Fahd National Guard, Arab Saudi pada September 2002.

Mereka yang dilahirkan pada April 1998 berkongsi badan, hati dan dubur serta mempunyai tiga kaki dan dua pasangan tangan.

Ahmad dan Mohamad bertuah kerana ramai pihak, termasuk VVIP dan pemimpin kerajaan menghulurkan bantuan untuk membiayai kos pembedahan untuk memisahkan mereka.

Pasangan berkenaan turut mendapat perhatian Putera Mahkota Arab Saudi ketika itu, Putera Abdullah Abdul Aziz (abang Raja Salman) yang kemudian menanggung kos keseluruhan pembedahan berjumlah RM1 juta.

Menurut Rosli, anaknya kini berusia 19 tahun masing-masing sedang menuntut dalam jurusan Grafik dan Teknologi Maklumat di Management & Science University (MSU).

Kata Rosli, kerana kejayaan pembedahan itu, dua anaknya mampu menjalani kehidupan lebih selesa dan kini boleh bergerak melakukan aktiviti harian seperti remaja lain dengan bantuan kerusi roda.

Katanya, biarpun pembedahan itu sudah belasan tahun lamanya, Ahmad mahupun Mohamad tidak pernah melupakan budi kerajaan Arab Saudi kepada mereka.

“Ahmad dan Mohamad tidak berpeluang bertemu Raja Abdullah yang membiayai pembedahan menyelamatkan nyawa mereka, tetapi jika ada peluang dan kesempatan, kami berharap dapat bertemu adiknya (Raja Salman) ketika baginda berkunjung ke negara ini minggu depan,”.

-myMetro