IPOH 21 Mei – Kerajaan negeri melahirkan kebimbangan sekiranya hanya jajaran Seksyen 8 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dari Hutan Melintang ke Teluk Intan yang dibuka menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, dengan pertambahan mendadak jumlah kenderaan menjelang musim perayaan, ia akan menimbulkan masalah-masalah lain yang tidak dijangka jika hanya seksyen berkenaan sahaja yang dibuka.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berwajib supaya lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang pengumuman dan perlu mengkaji segala aspek secara mendalam.

“Pembukaan Seksyen 8 WCE dari Hutan Melintang ke Teluk Intan sepanjang 19.1 kilometer (km) sebelum Hari Raya Aidilfitri amat dialu-alukan, namun ia masih tertakluk kepada proses pewartaan.

“Sempat atau tidak, itu tidak pasti. Saya agak bimbang jika hanya Seksyen 8 sahaja yang dibuka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Abdul Yunus, sekiranya ia dibuka, selain daripada Seksyen 8 WCE, pengguna masih terpaksa menggunakan jalan lama yang sedia ada.

“Sedangkan kemudahan seperti kawasan rehat dan rawat (R&R) masih belum beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Pengarah Urusan WCE Sdn. Bhd., Datuk Neoh Soon Hiong hari ini berkata, jajaran Seksyen 8 lebuh raya WCE dari Hutan Melintang ke Teluk Intan sejauh 19.1km kini sudah boleh digunakan dan sedia untuk dibuka kepada pengguna.

Bagaimanapun tarikh pembukaan jajaran tersebut akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat dan ia tertakluk kepada proses pewartaan.

Lebuhraya WCE merentasi Selangor dan Perak sepanjang 233km dengan di Selangor bermula dari Jalan Banting – KLIA hingga Persimpangan Bertingkat Tanjong Karang sepanjang 93.8km.

Di Perak, WCE bermula dari Jalan Persekutuan di Hutan Melintang ke Plaza Tol Changkat Jering sepanjang 139.2km. – UTUSAN ONLINE