BAGAN SERAI: Empat perompak bertopeng dan bersenjatakan senapang patah, kapak serta tukul besi menyamun sebuah kedai emas di Jalan Sepakat, Pusat Bandar Bagan Serai, pada Selasa.

Dalam kejadian sekitar 11.35 pagi itu, keempat-empat suspek dipercayai menaiki kereta Proton Wira, berjaya melarikan lima dulang barang kemas.

Pemilik premis itu, Fong Kok Heng, 51, berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri serta anak dan seorang pekerja sedang membuka kedai untuk memulakan perniagaan.

Menurutnya, ketika sedang menyusun barang kemas, kereta dinaiki suspek berhenti di hadapan kedai dan empat lelaki memakai topeng keluar dari kereta berkenaan.

“Terkejut dengan kehadiran suspek, saya segera menekan loceng kecemasan sebelum berlari masuk ke dalam premis bersama yang lain untuk menyelamatkan diri.

 

 

“Ketika bersembunyi, tiba-tiba terdengar bunyi tembakan disusuli bunyi cermin ruang pameran dipecahkan keempat-empat suspek, sebelum mereka melarikan lima dulang barang kemas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob mengesahkan kejadian dan memberitahu, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk nilai kerugian dialami pemilik kedai emas.