KUALA LUMPUR : Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berharap pintu depan segera dibuka dengan Parlimen dibubarkan seperti mana hasrat Muafakat Nasional dari awal lagi.

Dalam ciapan di laman Twitter, Annuar yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, dengan terbubarnya Parlimen maka diserahkan kepada rakyat sejauh mana mereka mahu bersama ‘geng’ DAP.

“Setelah kerosakan yang ditinggalkan PH diuruskan dan wabak Covid-19 reda, kita harap pintu depan segera dibuka dengan Parlimen dibubarkan seperti mana dari awal dimahukan oleh MUAFAKAT NASIONAL.

“Kita serah pada rakyat, sejauh mana rakyat mahu geng bersama DAP ini,” katanya.

Menyambung ciapannya, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, masalah Pakatan Harapan adalah mereka berada dalam sindrom penafian dan menyalahkan pihak lain secara kekal.

“Mereka yang berebut jawatan, mereka yang letak jawatan, mereka yg terjun tingkap dari Pakatan,” katanya.

Annuar berkata, Pakatan Harapan semacam berwirid kononnya kerajaan Perikatan Nasional yang terbentuk sekarang adalah kerajaan pintu belakang.

“Mereka tidak pernah sedar kesilapan mereka,” katanya.