Oleh: Aida Aziz

IPOH: Kerajaan perlu meletakkan kepercayaan kepada rakyat khususnya golongan muda dalam menzahirkan pendapat dan pertanyaan berhubung isu tertentu demi memastikan amalan demokrasi di negara ini tercapai.

Mantan Presiden Perhimpunan Agung PBB (UNGA), Tan Sri Razali Ismail berpendapat, sudah tiba masanya untuk kepimpinan tertinggi membuka ruang kepada rakyat untuk meluahkan perbezaan pendapat, yang tidak menggunakan saluran parti politik.

“Era sekarang tidak sama seperti zaman dahulu (yang mana) mereka percaya dengan apa yang dikatakan oleh ibu bapa atau apa yang disampaikan di sekolah. Teknologi sekarang sudah berkembang dengan lambakan saluran media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia (WCIT) 2017, di Casuarina@Meru di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu menyertai panel membincangkan topik Post-New World Order bersama-sama Profesor Madya Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Delaware, Dr. Muhammad Abdul Muqtedar Khan dan pengacara televisyen, Zaleha Khairene Ismail selaku moderator.

Razali turut memberi contoh rakyat beberapa negara lain yang mula menunjukkan amalan demokrasi sedemikian, dan katanya, tidak mustahil akan berlaku di Malaysia pada tahun-tahun mendatang.

“Kerajaan perlu faham bahawa bukan semua bersetuju dengan tindakan atau keputusan yang dibuat, jadi kita beri rakyat peluang bersuara, kalau dengan demonstrasi sekali pun selagi ia tidak bertentangan dengan undang-undang.

“Tidak perlu guna parti politk untuk menyampaikan pendapat kerana mereka sudah ada landasan untuk bersuara termasuklah di media sosial, asalkan cadangan yang diutarakan relevan dan tidak menyimpang dari maksud asal,” katanya.

Dalam pada itu, Razali menasihatkan golongan muda agar menggunakan peluang yang ada dengan sebaik-baiknya, serta tidak terpengaruh dengan pemikiran dan gerakan yang boleh meruntuhkan keamanan negara.