KUALA LUMPUR: Penduduk Taman Tiara Titiwangsa, Setiawangsa dekat sini meminta agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuka semula kertas siasatan berhubung cadangan pembinaan projek kondominium mewah oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) di kawasan berkenaan.

Ini berikutan cadangan pembinaan yang dipersetujui oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilihat mempunyai kepentingan terhadap pihak tertentu ketika ia diluluskan pada 2014.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Ahmad berkata, penyerahan tanah itu bagi diusahakan oleh YWP adalah meragukan kerana ia diluluskan oleh Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu iaitu, Datuk Seri Tengku AdnanTengku Mansor yang juga Ahli Lembaga Pengarah YWP.

Katanya, menerusi semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga mendapati kebanyakan Ahli Lembaga Pengarah YWP adalah daripada kalangan ahli politik yang dilihat mempunyai kepentingan tertentu.

Sebelum ini, iaitu pada April tahun lalu, penduduk ada membuat aduan kepada SPRM menerusi peguam yang dilantik bagi menyiasat kedudukan tanah itu yang dicadangkan untuk dibangunkan dua blok kondominum mewah.

“Ini kerana, menerusi pelan Greater Kuala Lumpur, tanah itu yang membabitkan keluasan kira-kira 7.6 ekar tersenarai sebagai kawasan hijau dan bukan untuk dibangunkan.

“Namun, pada September 2014, ia ditukar hak milik kepada YWM untuk dibangunkan dengan kondominium mewah,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cawangan Setiawangsa, di sini hari ini.

Hadir sama dua wakil penduduk Taman Tiara Titiwangsa, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar dan Sylvester Navaratnam.

Nik Nazmi berkata, sebelum ini, SPRM ada mengeluarkan satu surat memaklumkan bahawa suruhanjaya itu tidak melihat sebarang bukti kewujudan unsur rasuah dan menutup untuk menyiasat cadangan pembinaan projek terbabit.

“Jadi, menerusi kepimpinan SPRM yang baharu, kita ingin mereka menyiasat semula bagaimana tanah itu boleh terlepas kepada YWP yang dianggotai ahli politik dan dilihat mempunyai kepentingan tersendiri,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yusof berkata, kawasan Taman Tiara yang mempunyai 250 tanah dengan keluasan 50 ekar sepatutnya hanya dibina dengan rumah jenis banglo sahaja.

Katanya, jumlah kepadatan penduduk diperuntukkan adalah 32 orang bagi setiap satu ekar, namun jika projek kondominium mewah itu dijalankan, ia akan menjadikan kawasan itu padat iaitu mencecah sehingga 800 penduduk bagi setiap ekar.

“Jadi, kami penduduk di Taman Tiara Titiwangsa tidak bersetuju dan menolak cadangan pembinaan kondominium mewah yang dilihat akan menyebabkan kawasan ini menjadi sesak nanti,” katanya – berita harian