IPOH – Kerajaan negeri memandang serius serangan seksual yang dialami oleh kakitangan dan petugas di hospital dan klinik kesihatan kerajaan.

Exco Kerajaan Negeri, A Sivanesan berkata, beberapa kejadian berlaku di sebuah klinik kesihatan di Sungkai tahun lalu dan baru-baru ini turut berlaku di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, baru-baru ini.

Katanya, kejadian itu bukan dilakukan pesakit atau kakitangan lain tetapi dilakukan orang luar.

“Seperti di Sungkai, kejadian berlaku dalam makmal apabila seorang lelaki membuka zip seluar di hadapan dua orang jururawat klinik itu.

“Malangnya kita tak dapat kesan si pelaku kerana tiada kamera litar tertutup (CCTV),” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Cabaran Kayuhan Tanpa Henti Spin Cycle oleh Warga Emas anjuran Hospital Pantai Ipoh, di kompleks membeli belah AEON Klebang, di sini, hari ini.

Hadir sama pada program itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Ipoh, Chong Siet Fong.

Dalam perkembangan berkaitan, Sivanesan berkata, kedua-kedua kejadian itu sudahpun dilaporkan kepada pihak polis dan siasatan sedang dijalankan.

Menurutnya, kejadian serangan seksual itu masih lagi berlaku di klinik dan hospital kerajaan dan ia perlu dihentikan segera.

Beliau berkata, sebagai langkah terbaik untuk mengelak kejadian terus berlaku, semua klinik perlu dilengkapi dengan CCTV.

“CCTV ini bukan sahaja dipasang tetapi ia perlu dipastikan berfungsi dengan baik.

“Dengan cara itu, kita harap kejadian seumpama ini tidak lagi berlaku,” katanya- sinar