SELAMA – Polis menafikan terdapat banduan melarikan diri selepas gambar memaparkan kenderaan polis berhenti di kawasan Masjid Tinggi tular di laman sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kejadian itu salah faham apabila kenderaan itu mengalami kerosakan ketika dalam perjalanan pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian.

“Lori itu dari Mahkamah Taiping membawa orang kena tahan (OKT) kembali ke IPD semalam (kelmarin). Gambar tular itu disahkan palsu sedangkan lori itu hanya mengalami kerosakan.

“Ada pihak cuba memutar belitkan keadaan dengan menyebarkannya ke dalam laman sosial kononnya ada banduan meloloskan diri,” katanya pada Program Community Policing- Acara menembak IPD Kerian bersama ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan di Lapang Sasar Balai Polis Sungai Bayor di sini.

Menurutnya, amaran tegas diberikan kepada individu yang menyebar maklumat palsu hingga mengganggu ketenteraman awam.

“Setakat ini tiada laporan diterima dan amaran keras diberikan kerana gambar itu boleh mencetuskan huru hara dalam kalangan masyarakat dan polis,” katanya – sinar