Beberapa kali juga penulis perlu mengulangi jawapan ketika mahu menyampaikan hajat ke taman tema berkonsepkan zoo mini di Disiniland, Telok Setang, Batu Kurau.

Kunjungan ke Disiniland membuka dimensi baharu dalam bidang pelancongan, harga yang berpatutan ditambah dengan suasana kampung dan jauh daripada hiruk pikuk kesibukan kota.

IMG-20170509-WA0011

Pertemuan bersama salah seorang anak kepada pemilik Disiniland, Khalis Datuk Khairil Anuar,26, ternyata memberi sedikit sebanyak gambaran bagaimana taman tema berkeluasan lima ekar ini memulakan operasinya.

“Kami sekeluarga memang tidak pernah merancang untuk buka Disiniland, asalnya taman tema ini hanya untuk tempat percutian peribadi keluarga sahaja kerana di sini sememangnya kampung kami (Batu Kurau).

“Namun lama-kelamaan keluarga saya mencadangkan untuk buka taman tema ini kepada orang ramai kerana sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat,” jelas Khalis yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus selia Disiniland.

 Iktibar Kisah Pemanjat Pokok Petai

Ketika ditanya mengapa memilih nama Disiniland, Khalis menjelaskan ia bertepatan dengan konsep yang ingin diketengahkan seperti Disneyland tetapi lebih kepada zoo mini.

IMG-20170509-WA0027

IMG-20170509-WA0023

“Di sini ada bermacam-macam aktiviti iaitu menunggang kuda, memanah, All-Terrain Vehicle (ATV), memancing ikan tilapia dan jelawat termasuk haiwan seperti unta, rusa, burung unta dan lembu bali,” katanya yang baharu saja menamatkan pengajian di universiti luar negara.

Ujar Khalis, ada kisah di sebalik harga tiket Disiniland yang sangat berpatutan kepada orang ramai.

“Ayah saya (Khairil Anuar) sengaja meletakkan harga rendah iaitu RM 1 kepada kanak-kanak dan RM 3 kepada dewasa berikutan kisah rakannya yang lumpuh akibat jatuh ketika panjat pokok petai.

“Hanya disebabkan RM 1 untuk petai rakannya sanggup ambil risiko sebegitu, oleh kerana peristiwa itu ayah saya mahu semua orang dapat merasa masuk ke Disiniland kerana bukan semua berkemampuan,” katanya yang akan berulang alik dari Batu Kurau ke Shah Alam setiap minggu.

Peluang Pekerjaan Buat Penduduk

Noor Atirah Mohd Khair, 24, merupakan lulusan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Sg. Besi, Kuala Lumpur dan kini bertugas sepenuh masa di bahagian khidmat pelanggan Disiniland.

IMG-20170509-WA0079

“Saya dari Kampung Anak Kurau, sebelum ini pernah bekerja di Ipoh selama sembilan bulan. Kemudian saya dapat tahu ada peluang kerja di sini, alhamdulillah berjaya juga bekerja di kampung sendiri.

“Sambutan daripada orang ramai sangat baik, hujung minggu terutamanya. Kami sebagai penduduk setempat boleh jana pendapatan,” kata Noor Athirah.

Meriahkan Batu Kurau

Salah seorang penduduk yang ditemui, Noraini Tajudin, 52, melahirkan rasa gembira ekoran pembukaan Disiniland yang disifatkan sebagai tumpuan terbaharu di Batu Kurau.

IMG-20170509-WA0025

“Disiniland ini diibaratkan macam zoo dan banyak aktiviti santai, kami di sini tak perlu lagi keluar jauh-jauh macam ke Taiping.

IMG-20170509-WA0079

Pengunjung dari luar Perak seperti Pulau Pinang dan Johor ramai datang khususnya cuti sekolah dan hujung minggu,” kata Noraini kepada Suara Perak.

Bagi anda yang berminat boleh berkunjung ke Disiniland yang dibuka pada jam 10 pagi hingga 6.30 petang, sebarang maklumat lanjut sila hubungi 018 572 4687.